web widgets

Tuesday, 25 November 2014

Cinta Mat Burger


Kisah ringkas manis seorang Mat Burger dengan gadis idamannya yang iras penyanyi Sheila Majid. Siapa sangka, huluran kasih Hazman buat Haryanti, pegawai tinggi yang berkelulusan sarjana, disambut mesra. Pertemuan manis di gerai burger tepi jalan itu akhirnya membibitkan cinta. Namun, langit tak selalu cerah. Mana mungkin keluarga ternama dan berpendidikan tinggi dapat menerima lelaki penjual burger jalanan yang hanya ada SPM sebagai menantu.

Munculnya Badrul dan Cikgu Syikin menambahkan lagi rempah dalam kemanisan kisah cinta Mat Burger dengan “Sheila Majid”nya. Cinta Hazman dan Haryanti diuji badai gelora. Dapatkan mereka berenang sehingga berjaya singgah di pulau bahagia?

Thursday, 2 October 2014

Tika Cinta Berbisik


NURUL HAIZA : Hidupnya tidak seindah pelangi. Duri kehidupan terus mencucuk dan menyakitinya dari semua arah. Namun, Nurul memiliki hati yang seteguh karang. Demi adik tunggalnya yang tercinta dia tetap tabah meniti jalan kehidupan yang penuh onak.

DOKTOR ISWANDI : Hadirnya cuma seketika, namun kesan cinta pertamanya kekal bertakhta di dalam jiwa. Bahagia yang datang sekejap cuma, namun cinta tetap bersinar di pintu syurga.

KHAIRUL : Perginya isteri tercinta meninggalkan cahaya mata belahan jiwa yang menghilangkan duka. Demi amanah peninggalkan arwah isterinya yang tercinta, dia tabah meneruskan kehidupan. Pertemuan kedua dengan Nurul kembali melukiskan  jiwa dengan warna bahagia. Namun, siapa yang menduga perjalanan takdir yang telah tertulis di sana...?

ANIS NORIZZATI : Meskipun kakinya cacat akibat kemalangan yang telah meragut nyawa kedua ibu dan bapanya, namun dia tetap tidak pernah merasakan kekurangan. Kasih sayang yang menggebu-gebu dicurahkan oleh kakak kesayangannya menyebabkan dia sentiasa diselimuti awan bahagia. Siapa menduga bahawa dirinya yang akan menaburkan duri sengsara di jalanan bahagia kakaknya sendiri?

Ini kisah tentang cinta. Ini ceritera tentang derita dan bahagia. 

Tika cinta berbisik,
hatinya pasti terusik....

Wednesday, 25 June 2014

Lukisan Asmara 2


"Kau dan abang telah pun bernikah. Mahu atau tidak, kau kena terima kenyataan yang abang adalah suami kau dan aku. Kita akan berkongsi kasih sayangnya bersama, tak kira apa pun yang terjadi!"

Alyssa semakin sangsi dengan Elly. Apakah sebenarnya yang berada di dalam hati gadis itu sebelum dan sesudah dia menikahi Tuan Fahreen?

Demi Tuan Zuhair, Alyssa dan Elly sanggup berkongsi kasih Tuan Fahreen. Alyssa inginkan payung emas Siti Fatimah di syurga nanti. Elly pula berkorban demi seorang sahabat. Mampukah mereka mengharungi hari-hari mendatang walaupun mencarik hati dan perasaan sendiri?

Tuesday, 24 June 2014

Bolot


"Soal jodoh dan maut, kerja Allah. Musibah yang melanda kita bukanlah penamat bagi segala-galanya. Kalau Tuhan menemukan jodoh kita, kita tetap akan kahwin walaupun ditakdirkan esok kita akan mati...."

Oleh kerana ketamakan dan fitnah manusia yang berhati iblis telah menyebabkan Wirda terhalau dari kampung halamannya sendiri. Ke manakah dapat gadis itu membawa dirinya sedangkan sejak membuka mata di dunia ini Wirda tidak pernah meninggalkan tempat itu, jauh sekali ingin menetap di tempat yang asing?

Zaki, lelaki syaitan yang telah cuba menodainya dan kemudian menuduhnya pula sebagai gadis yang tidak bermaruah, terbebas daripada hukuman. Bagaimanakah Wirda dapat membuktikan dirinya tidak bersalah dan menuntut kembali haknya yang telah dirampas? Semuanya bakal terjawab setelah anda usai membaca Bolot!

Thursday, 12 June 2014

Lukisan Asmara


"Tak baik macam tu, dik. Tak baik berdendam. Apa lagi kalau orang yang kita dendami itu adalah mama dan suami kita sendiri. Tak cium bau syurga, dik. Sebaiknya, Lyssa reda dengan apa yang berlaku...."

Reda? Perkataan yang mudah untuk diucapkan, tetapi cukup payah untuk dilaksanakan. Untuk seorang Alyssa, berdosakah dia sebagai seorang anak dan isteri jika dia membenci ibu dan suaminya? Tidak akan tercium bau syurgakah dia andainya suami dan ibu yang diharapkan menjadi pelindung telah menghantar dia ke neraka dunia? Di antara persimpangan kehidupan, seorang wanita sedang merangkak mencari jalan yang membawa bahagia.

Kristal Berdarah


Di sebalik kehidupan silam yang penuh teka-teki, Kristal Berdarah merupakan alasan terbaik untuk memperolehi semula masa lalu yang telah hilang. Di sebalik perselisihan faham yang  telah tercetus, Kristal Berdarah merupakan penyambung yang merapatkan semula perhubungan itu. Di sebalik malang yang kerap bertandang, Kristal Berdarah menjadi penghadang yang paling berkesan.

Sebuah naskah yang mengungkap kehidupan sekelompok manusia yang menjadikan nafsu sebagai penentu dan perebutan sebuah kristal  yang mengungkap sempadan martabat nafsu yang seringkali sengaja disalah anggap.